Dua lagi jemaah Malaysia meninggal

Dua lagi jemaah Malaysia meninggal

SYED Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) ketika menziarahi waris Allahyarham Noormadiah Mat Ali (tengah) di Mekah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Dua kematian jemaah haji Malaysia dicatatkan pada 3 dan 4 Jun lalu dengan menjadikan kesemuanya empat orang setakat ini.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kematian ketiga ialah Allahyarham Ghazali Ahmad, 71, dari Alor Setar, Kedah dan Allahyarham Noormadiah Mat Ali, 53, berasal dari Jertih, Terengganu bagi kematian keempat.

“Punca kematian Allahyarham Ghazali adalah kegagalan fungsi buah pinggang dan berlaku penyumbatan pada pembuluh darah di perut.

“Kematian Allahyarham Noormadiah pula akibat kegagalan fungsi organ disebabkan jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya

Kedua-dua jenazah dikebumi di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram dan Tanah Perkuburan Syaraiee selepas disembahyangkan di Masjidil Haram.

Menurut Syed Saleh, kedua-dua Allahyarham telah menerima rawatan di klinik maktab sebelum dipindahkan ke Pusat Rawatan Tabung Haji dan terus dibawa ke hospital Arab Saudi untuk rawatan lanjut.

“Kedua-duanya meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Arab Saudi.Kami mengucapkan takziah kepada waris jemaah dan kemi mendoakan agar segala amal ibadahnya diterima oleh Allah SWT.

“Pihak Tabung Haji juga akan mengurus badal haji untuk keduanya dan semua kos ditanggung tabung badan kebajikan kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, seramai 52 jemaah haji Malaysia iaitu 43 orang sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji, manakala sembilan orang lagi dirawat di Hospital Arab Saudi.

Menurutnya, jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan Tabung Haji dan Hospital Arab Saudi disebabkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman pada paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, gangguan emosi (psikiatri), dan sakit otot serta sendi.

Justeru itu, Syed Saleh mengingatkan semua jemaah untuk terus menjaga kesihatan lebih-lebih lagi kini berbaki lapan hari lagi sebelum hari wukuf iaitu kemuncak ibadah haji setiap tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN