NIBONG TEBAL: Seorang ahli akademik, Dr. Joohari Ariffin antara tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon PKR untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Sumber PKR memberitahu, peluang bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang turut dikenali sebagai Dr. Jo, 60, itu untuk dicalonkan adalah paling tinggi setakat ini iaitu sekitar 70 peratus.
Katanya, dua lagi nama yang disebut-sebut adalah bekas calon PKR bagi kerusi sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 2023, Norhidayah Che Rose dan Ketua Cabang PKR Kawasan
Nibong Tebal yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dr. Ammar Pritpal Abdullah.
“Masih ada (peluang untuk Norhidayah dan Dr. Ammar untuk dicalonkan). Tapi, dah ‘50-50’ sekarang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pengumuman nama calon akan dibuat sendiri oleh Timbalan Presiden PKR merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya parti itu, Rafizi Ramli di Bandar Tasek Mutiara dekat sini, malam ini.
Dalam pada itu, latar belakang keagamaan yang dimiliki oleh Joohari selain faktor lain seperti anak kelahiran Sungai Bakap menjadikan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu pilihan utama sebagai calon ketika ini.
Meskipun menjadi pilihan utama, difahamkan, Joohari tidak mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat dalam PKR Pulau Pinang ketika ini.
“Apapun, setakat ini, nama beliau (Joohari) yang paling ‘bertiup kencang’ berbanding yang lain ketika ini,” kata sumber yang sama.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff dari Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), pada 24 Mei lalu.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal sebelum ini menang kerusi tersebut pada PRN Pulau Pinang tahun lepas selepas menewaskan Norhidayah yang juga Ketua Wanita PKR negeri dengan majoriti 1,563 undi dalam pertembungan satu lawan satu. – UTUSAN










