KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, dakwaan bahawa Lim Guan Eng meminta rasuah 10 peratus hasil keuntungan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, tidak pernah didedahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.
Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 65, berkata, perkara tersebut tidak dinyatakan kepada SPRM yang merekodkan keterangannya enam tahun lalu kerana ketika itu siasatan dijalankan terhadap ahli perniagaan, G. Gnanaraja melibatkan kes berlainan.
Ketika memberikan keterangan di mahkamah pada 17 Disember 2021, ahli perniagaan itu mengaku Guan Eng pernah meminta rasuah 10 peratus hasil daripada keuntungan yang diperoleh oleh syarikatnya berhubung pelaksanaan projek berkenaan.
Zarul Ahmad berkata, ketika keterangannya direkod SPRM, beliau turut memberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak pernah meminta apa-apa wang berkaitan pelaksanaan projek melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurutnya, Guan Eng malah memberi jaminan tidak akan `mengganggu’ projek berkenaan yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan.
Ahli perniagaan itu menyatakan demikian pada prosiding mencabar kredibiliti beliau sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Guan Eng.
Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik melaksanakan projek berkenaan yang menelan belanja RM6.3 bilion.
Ketika ditanya oleh peguam R.S.N. Rayer, ahli perniagaan itu berkata, beliau bersama-sama Guan Eng pernah ke rumah Gnanaraja di Petaling Jaya kira-kira pukul 2 pagi dan berbincang selama sejam berkaitan projek Persekutuan yang akan dilaksanakan di Pulau Pinang.
Rayer: Semasa perbincangan itu, projek yang dimaksudkan melibatkan TUDM dan kerajaan negeri diminta tidak membantahnya?
Guan Eng: Ya.
Rayer: Guan Eng sebenarnya tidak minta apa-apa wang?
Zarul: Ya dalam pernyataan ini (yang diberikan kepada pihak SPRM) tiada.
Terdahulu, Hakim Azura Alwi memerintahkan prosiding mencabar kredibiliti saksi diteruskan selepas berpuas hati terdapat percanggahan material di antara kenyataan yang diberikannya kepada SPRM dan keterangan di mahkamah.
Sebelum itu, Rayer memohon penangguhan kerana terdapat beberapa bahagian yang perlu diteliti terlebih dahulu sebelum prosiding itu diteruskan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu atas alasan sepatutnya pembelaan membuat persediaan lebih awal iaitu sebelum prosiding mencabar kredibiliti saksi bermula. – UTUSAN









