SEPANG: “Saya ingat cuaca di Malaysia sudah cukup panas, tapi bila sampai di sana (Mekah), cuacanya lagi ekstrem,” kata Wan Suhaimi Wan Hussain, 57.
Wan Suhaimi dan isteri, Amnah Muhmed Rumi, 55, adalah antara 280 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di tanah air malam semalam.
Pasangan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan itu berlepas ke tanah suci pada 8 Mei lalu.
Wan Suhaimi berkata, dia dan isteri mengakui cuaca di tanah suci amat panas, namun keadaan itu dapat diredakan dengan banyak minum air dan elak keluar pada tengah hari.
“Bagi kita orang Malaysia, cuaca panas di tanah suci sekitar 45 darjah Celsius itu adalah amat ekstrem. Di tempat saya (Kelantan), cuaca panas adalah sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius sahaja,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam semalam.
Kumpulan 280 jemaah haji dari Kedah dan Kelantan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dengan pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251).
Wan Suhaimi berkata, dia tidak pernah terserempak dengan mayat jemaah haji bergelimpangan di tepi jalan yang meninggal dunia akibat strok haba di Mekah seperti yang tular dalam media sosial.
Bagaimanapun, katanya, ada rakan jemaah lain sempat berkongsi kepadanya pernah terserempak dengan kejadian (mayat bergelimpangan) itu, malah sempat diajar mengucap.
Sementara itu, Amnah berkata, dia dan suami bersyukur kerana tidak alami sebarang masalah kesihatan teruk sepanjang di tanah suci kecuali batuk yang belum pulih sepenuhnya.
Ketibaan 280 jemaah haji itu disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Mohd Na’im berkata, perjalanan dan proses haji bagi tahun 1445H/2024M ini boleh dianggap berjaya dan dapat dilaksanakan dengan tertib dan jayanya.
Beliau bagi pihak Tabung Haji (TH) merakamkan rasa syukur dan amat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan semua pihak bagi memastikan segala urusan haji berjalan dengan lancar.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada TH kerana sekali lagi meletakkan sepenuh komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan bermutu tinggi dan tatakelola pengurusan yang amat cekap.
“Kesungguhan yang dipamerkan TH terbukti dengan pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN










