GEORGE TOWN : Percubaan tiga generasi memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menggoreng lebih daripada 10,000 pinggan mi sotong tanpa henti selama 24 jam akhirnya tercapai hari ini.
Tiga generasi berkenaan iaitu Sheik Abidin AKM Mustapha, 78, Seeni Mohamad Sheik Abidin,46 dan Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohamad,24, adalah generasi penggoreng mi terkenal yang dikenali sebagai Seeni Mee Sotong, di Penang Bazar, Jalan Penang, di sini.
Seeni Mee Sotong telah memulakan operasi lebih 40 tahun lalu di Pangkalan Raja Tun Uda dan kemudian operasi Seeni Mee Sotong telah dipindahkan ke Jalan Penang sehingga kini.
Menurut Syed Muhammad Hafiz, kesemua mereka sangat gembira apabila usaha ahli keluarga serta hampir 100 orang pasukan sukarelawan yang terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan (NGO) membuahkan hasil apabila berjaya melakar nama di dalam MBR hari ini.
“Kami semua tidak tidur sejak hari Khamis lagi bagi menjayakan program Malaysia Book of Record ‘Most Mee Goreng Giveaway’ anjuran Young Muslim Sport Club ini.
“Saya mewakili ahli keluarga serta pasukan amat bersyukur kerana usaha kami untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai tercapai hari ini.
“Malah kami berjaya menyelesaikan tugasan menggoreng 10,200 pinggan mi dalam tempoh 23 jam sahaja berbanding tempoh sasaran selama 24 jam,” katanya pada majlis penutup program Malaysia Book of Record ‘Most Mee Goreng Sotong Giveaway di Padang Kota Lama, di sini petang ini. Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Wakil MBR, Edwin Yeoh.
Menurut Syed Muhammad Hafiz, selain berkongsi rezeki dengan penggemar mi sotong, objektif utama mereka menyertai program berkenaan ialah untuk memperkenalkan jenama Seeni Mee Sotong kepada orang ramai.
”Kami mempunyai produk makanan segera iaitu produk mi sotong yang mudah untuk disediakan oleh orang ramai, jadi dengan program sebegini jenama Seeni Mee Sotong dapat dikenali ramai,” katanya.
Tambahnya, untuk mencipta rekod berkenaan, mereka menggunakan kira-kira 1.2 tan mi, 100 kilogram sotong segar dan satu tan cili dan anggaran kos bagi kesemua pinggan mee goreng yang telah diedarkan percuma kepada orang ramai adalah RM120,000.
”Datuk saya, Sheik Abidin yang telah lama tidak menggoreng mi telah kembali beraksi di dapur bagi mencipta rekod ini. Malah, saya, bapa dan datuk bergilir-gilir menggoreng mi tanpa henti sejak petang Sabtu lagi bagi memastikan rekod berjaya dicipta dan kami berharap nama Seeni Mee Goreng Sotong dikenali ramai,” katanya.










