PETALING JAYA: Buku Laporan Pencapaian Tujuh Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan (KPM) 2023 sepatutnya diisi dengan analisis dan bukti empirikal mengenai pencapaian tujuh teras nadi keunggulan KPM itu.
Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, laporan tebal dengan 214 muka surat itu terlalu banyak gambar dan foto aktiviti iaitu dua pertiga daripada keseluruhannya.
Menurut beliau, buku tersebut hanya menunjukkan laporan aktiviti dan tidak menceritakan mengenai pencapaian Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM.
Katanya, beliau membayangkan laporan tersebut akan memaparkan skor kecekapan komunikasi yang sudah ditingkatkan dan menunjukkan sistem penyampaian KPM sudah menjadi lebih efisien berbanding tahun lalu.
“Tidak terlintas langsung bahawa laporan ini hanya sekadar menyenaraikan aktiviti sepanjang setahun yang lalu. Tanpa ada data analisis dan bukti empirikal sama ada perubahan pada 7 teras itu telah atau belum berlaku.
“Akhirnya, pada saya laporan ini tidak lebih dari sekadar majalah. Sama seperti majalah sekolah. Sebuah majalah bergambar,” katanya di i Facebook.
Terdahulu, KPM mengadakan majlis Peluncuran Buku Laporan Pencapaian Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, laporan tersebut seharusnya dirancang dan disediakan dengan baik sebelum diterbitkan sebagai sebuah laporan pencapaian sistem pendidikan pendidikan negara supaya boleh dirujuk secara serius oleh masyarakat.
“Sepatutnya, dimuatkan dalam laporan ini hasil darpadai kajian impak bagi setiap teras sebagai bukti pencapaian dan kejayaan yang telah berlaku pada 7 teras nadi Keunggulan KPM. Atau sekurang-kurangnya laporan kemajuan.
“Bukanlah hanya sekadar majalah bergambar semata-mata. Apapun, tahniah pada KPM atas laporan yang disediakan. ‘enjoy‘ jugalah saya dapat menatap gambar-gambar aktiviti pendidikan negara sejak setahun lalu yang lalu,” katanya.- UTUSAN










