KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membidas kenyataan yang sering dibuat pemimpin Parti Warisan (Warisan) yang menyatakan program Geran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dilaksanakan oleh kerajaan Warisan.
Beliau berkata, ada pemimpin pembangkang yang mengaku usaha pemberian geran tanah kepada penduduk itu dimulakan ketika Warisan memerintah.
Hakikatnya, program PANTAS diwujudkan sejak 2011 lagi ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Namun, ada setengah pemimpin menganggap program PANTAS ini adalah inisiatif mereka terutama Parti Warisan
“Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) jika berucap di mana-mana waktu dia Ketua Menteri dulu, dia cakap itu adalah inisiatif kerajaannya. Mereka kata usaha menolong rakyat, menyukat tanah rakyat itu dimulakan Warisan.
“Itu tidak benar, PANTAS dilancarkan pada 2011 lagi dan sudah beribu geran diserah kepada rakyat, bukan Warisan yang mulakan. Saya cakap ini supaya kita tahu.
“Program PANTAS ini akan kita teruskan dan saya telah minta Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur supaya ia diteruskan di seluruh Sabah. Mana-mana rakyat menunggu lama yang belum dapat geran tanah kita mesti sukat untuk pastikan rakyat mendapat hak mereka,” katanya dalam majlis penyerahan geran PANTAS dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Padang Belia Kampung Pantai Emas, di sini hari ini.
Hajiji turut memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan meneruskan usaha melalui PANTAS itu dan banyak lagi geran akan diserahkan kepada rakyat dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, beliau menolak dakwaan pembangkang yang menuduh kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bersuara atau berdiam diri dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang dikutip kerajaan Persekutuan.
Kata Hajiji, dakwaan sebegitu tidak betul dan cuba memperkecilkan kerajaan negeri. Tuntutan hak Sabah sentiasa diperjuang dan ditegaskan oleh kerajaan negeri sama ada dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau dalam mesyuarat Kabinet. – UTUSAN










