SHANGHAI: UMNO membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat secara bersama dengan UMNO Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Keputusan untuk menjalinkan kerjasama antara Barisan Nasional Sabah dengan Pakatan Harapan (PH) menjadi keputusan bersama di antara UMNO Sabah dan UMNO Malaysia kerana kaedah yang terbaik adalah mengekalkan kerajaan di Putrajaya.
“Pada waktu yang sama kita juga melanjutkan kerjasama tersebut di Sabah. Namun parti lain terbuka menjalin kerjasama dengan kami,” katanya kepada media Malaysia, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan BN Sabah sedang memperhalusi kerjasama politiknya dengan PH untuk PRN akan datang.
Bung Moktar sebelum ini berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa Barisan negeri bagi memperhalusi kerjasama dengan Pakatan bagi memastikan kemenangan.
Malah, Bung Moktar turut meyakini Barisan-Pakatan akan menjadi rangka kerja bagi kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negeri.
Ditanya mengenai kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan), beliau menjelaskan yang Warisan juga adalah sebahagian besar daripada Kerajaan Perpaduan, maka ia tidak timbul isu untuk turut bekerjasama dengan parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal atau tidak pada PRN Sabah nanti.
“Warisan memang sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, tetapi di Sabah mereka jadi pembangkang, dan kita harap tidak ada parti di Sabah menyebutkan ini Parti Malaya atau parti peringkat kebangsaan tidak perlu masuk ke Sabah.
“Kita sebuah negara demokrasi dan tidak ada parti lokal atau semenanjung, sepatutnya tidak ada kenyataan yang dikeluarkan walaupun parti itu berhajat untuk menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya tanpa menyebut nama mana-mana pemimpin berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Mohd Shafie membuat gesaan agar rakyat Sabah menyokong parti tempatan berbilang kaum pada PRN akan datang.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan Sabah mempunyai kesepaduan dalam menyuarakan hak dalam usaha membangunkan negeri yang masih kekurangan kemudahan asas seperti air, elektrik, kesihatan dan pendidikan.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), Ahmad Zahid berkata, UMNO akan mengkaji perkara itu mengambil kira keputusan keputusan PRN Sabah nanti.
“Kita selesaikan masalah negeri Sabah dulu dan jika templat ini berjaya, tentunya akan mengkaji untuk pelaksanaan di peringkat PRU ke-16. Cuma setakat ini, keserasian PH 2.0 terbukti baik termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk ahli parlimen dan kita akan lihat bagaimana kestabilan dapat diteruskan dan dipertahankan di Malaysia,” ujarnya lagi. – UTUSAN










