KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menegaskan pendirian untuk bertanding secara ‘solo’ semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 bagi memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan, kata Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie berkata keputusan itu dibuat berikutan pengalaman Warisan bersama pelbagai pakatan politik sebelum ini yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Katanya, Warisan tidak menjalin pakatan politik dengan mana-mana parti lain pada PRN kali ini dan hanya bergantung kepada sokongan rakyat.
“Kami sudah bersama pelbagai pakatan sebelum ini, tidak memanfaatkan rakyat Sabah. Warisan tiada pakatan politik dalam PRN kali ini, cuma pakatan dengan rakyat sahaja.
“Jika rakyat Sabah mahu masalah mereka bukan sahaja didengari tetapi diatasi, perlunya satu suara yang bersatu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Warisan.
Beliau menegaskan kebimbangan mewujudkan pakatan dengan parti lain berikutan pengalaman lalu, apabila sesetengah parti komponen melompat jika kehendak mereka tidak dipenuhi.
Situasi itu boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat kerana wakil rakyat tidak berlandaskan keperluan rakyat.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, rakyat mahukan satu parti tempatan bukan sekadar nama sahaja, tetapi sebuah parti yang menunaikan janji mereka.
Katanya, Warisan sudah mempunyai susun atur untuk mengatasi masalah yang disebut serta menambahbaikkan sistem pendidikan dan keselamatan di sekolah.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk memberi lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat Sabah dalam bidang-bidang seperti minyak dan gas.
“Kita ada misi dan visi. Beri kami peluang, dan kami akan buat lebih baik dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Itu yang pasti,” katanya.
Sehubungan itu katanya, keputusan untuk Warisan bertanding ‘solo’ semua kerusi DUN dalam PRN Sabah ke-17 adalah dibuat secara sebulat suara.
Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna dan Ahli DUN Senallang, menasihati rakyat agar jangan mempercayai ura-ura tentang sebarang kerjasama dengan parti lain.
“Ini bukan keputusan presiden seorang, tetapi keputusan parti,” katanya.
Shafie berkata, Warisan menyasarkan mendapat majoriti dalam PRN nanti untuk membolehkan mereka kembali memerintah negeri Sabah, namun angka tidak disebut.
Mengenai calon, beliau berkata senarai calon akan diumumkan kelak dan yang penting bagi mereka adalah untuk memilih calon-calon yang boleh menang.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa calon-calon yang dipilih berkelayakan dan berkebolehan,” tambah beliau. – UTUSAN










