KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) Terengganu mendesak kerajaan menggugurkan perkataan Islam dalam parti Pas demi memastikan kedudukan dan maruah Islam terpelihara di negara ini.
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, desakan tersebut merupakan salah satu daripada tujuh resolusi Konvensyen BN Terengganu 2024 yang berlangsung sehari di sini, hari ini.
Beliau berkata, resolusi tersebut dicapai setelah mendapati sikap pemimpin Pas yang sering memanipulasi, menunggang agama untuk kepentingan politik mereka dan meraih sokong rakyat.
“Perkataan Islam perlu diletakkan pada kedudukan yang sesuai untuk memastikan maruah agama Islam terpelihara.
“Saya rasa perkara ini telah lama dibincangkan, tetapi kita minta supaya Islam terpelihara tanpa diguna oleh mana-mana parti untuk kepentingan politik sebab itu kita ingin mengangkat martabat agama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan resolusi tersebut kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asraf Wajdi Dasuki pada majlis perasmian penutup Konvensyen BN Terengganu di sini, petang tadi.
Lebih 600 kepimpinan UMNO dan BN di peringkat bahagian serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai konvesyen tersebut.
Selain itu, beliau memberitahu, BN Terengganu juga mendapati orang ramai terkeliru dengan penggunaan perkataan Islam dalam.parti itu, memandangkan parti-parti lain termasuk UMNO juga memperjuangkan Islam.
“BN Terengganu mengharapkan resolusi tersebut diserahkan kepada BN Pusat untuk dipanjangkan kepada pihak yang berwajib,” ujarnya. – UTUSAN










