BAGAN DATUK: Kawasan istiadat pertabalan Sultan Perak, Beting Beras Basah di sini semakin sepi tanpa pelancong dan perlukan perubahan terutama memperindah laluan masuk ke kawasan tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan itu yang sebelum ini menjadi tumpuan terutama pada hari cuti dan hujung minggu kini sepi tanpa kehadiran kenderaan atau bas pelancong.
Suasana sepi itu diakui pemandu pelancong di Bagan Datuk, Lee Huat Siew, 41, yang kecewa apabila satu daripada tarikan utama pelancong ke daerah ini semakin sepi.
Katanya, keadaan itu mungkin disebabkan pelancong memilih destinasi pelancongan baharu yang terdapat di Bagan Datuk seperti Taman Bunga Matahari di Sungai Burung, Waterfront Bagan Datuk dan Masjid Tuminah Hamidi di pekan Bagan Datuk.
“Dari semasa ke semasa, saya lihat kawasan Beting Beras Basah ini semakin kurang dikunjungi pelancong sedangkan kawasan ini dahulunya sentiasa menjadi tumpuan.
“Tindakan perlu diambil supaya pelancong kembali memilih Beting Beras Basah sebagai destinasi kunjungan mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Tarmizi Shamshudin, 55, berkata, beliau yang merupakan anak jati di sini kecewa melihat keadaan berkenaa dan berharap perubahan dilakukan terutama memperindah jalan masuk ke Beting Beras Basah.
“Selain itu, kemudahan awam seperti tandas diperbaiki dan langkah promosi harus dilakukan supaya lebih ramai mengetahui tentang tempat ini, barulah pelancong datang,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Beting Beras Basah termasuk galeri yang mempamerkan maklumat mengenai kawasan itu yang dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Perak didapati terbiar.
Beting Beras Basah adalah tempat istiadat pertabalan Sultan Perak dengan menyempurnakan istiadat yang dinamakan mencecah kaki di muara Sungai Perak.
Kawasan itu menjadi tumpuan pelancong yang mahu melihat keunikan pasir timbul di permukaan muara Sungai Perak apabila air surut.
Hutan yang terdapat di Beting Beras Basah menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung-burung yang bersarang di pokok bakau. – UTUSAN










