Baling batu sebab mahu usik penyokong Perak FC

Baling batu sebab mahu usik penyokong Perak FC

Monsun Timur Laut
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG : Dua pelajar lelaki yang bertindak membaling batu ke arah bas membawa penyokong pasukan Perak FC di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Ahad lalu, kerana ingin mengusik penyokong pasukan lawan. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kelakuan nakal dua pelajar itu menyebabkan orang awam menahan mereka sebelum menyerahkannya kepada polis.

Katanya, mereka kini masih dalam tahanan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Tiada motif spesifik tetapi lebih kepada perbuatan nakal mengusik penyokong lawan.

“Insiden itu tidak mendatangkan kecederaan dan kerosakan besar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD) di sini hari ini.

Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kajang baharu antara Senior Komisioner, Mohd Zaid Hassan dengan Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof.

Hussein penyokong meriahkan sukan dengan baik dan harmoni serta mengelakkan pertelingkahan atau pergaduhan.

“Sama-samalah menikmati sukan bola sepak dalam suasana harmoni,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki ditahan kerana disyaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC di NKVE.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 8.49 malam.

Siasatan mendapati kejadian berlaku terhadap bas membawa penyokong sebuah kelab bola sepak selepas selesai menyaksikan perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Terdahulu kecoh di media sosial apabila terdapat dakwaan insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya NKVE, di sini.

Insiden terbabit berlaku selepas tamatnya perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan memihak tuan rumah 2-1.

Berdasarkan klip video yang viral di akaun X mendakwa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN