PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan turut berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang berlangsung pada 6 Julai ini.
Anwar yang juga Presiden PKR menjawab ringkas tentang kehadiran beliau dalam membantu calon kerajaan perpaduan pada kempen PRK nanti.
“Tak, tak, tak,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, hari ini.
Difahamkan ini adalah kali kedua beliau tidak turun dalam membantu berkempen selepas tempoh PRK Kuala Kubu Baharu lalu yang dimenangi oleh Pang Sock Tao
Sehubungan itu, Dr. Joohari Ariffin yang mewakili Kerajaan Perpaduan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan memulakan programnya secara solo selepas Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini bagi mendekati pengundi.
Sebelum ini, media melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun ini manakala undi awal pada 2 Julai dan tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Ini adalah PRK ke-8 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor.
Sementara itu, Anwar meluangkan masa makan tengah hari di Restoran De’Salai Bangi Station dan disambut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Nazli Md. Taib pada pukul 12.50 tengah hari.
Selain Nazli, turut menyambut ketibaan beliau Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Jusni Hashim dan orang ramai di sekitar kawasan Bangi Gateaway.
Perdana Menteri kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut bersama-sama 1,500 jemaah. – UTUSAN









