PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia terus mengadakan kerjasama dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang baru sahaja memenangi pilihan raya umum (PRU) untuk penggal ketiga berturut-turut.
Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada Modi selepas memenangi PRU yang baru sajaja selesai.
“Saya bersedia untuk terus bekerjasama dengan beliau sambil kita mempateri era baharu hubungan persahabatan antara Malaysia dan India,” katanya.
Anwar berkata, proses dan praktik demokrasi di India mengujakan tatkala lebih dari 642 juta rakyat turun melaksanakan hak mengundi yang bermula sejak 19 April lalu.
“Modi juga telah melakukan anjakan yang ternyata memberangsangkan pada aspek ekonomi India yang tentunya meningkat tahap kesejahteraan rakyat dan membawa manfaat kepada wilayah tersebut,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Modi meraih kemenangan majoriti bagi parti pimpinannya dan parti-parti bersekutu dalam pengumuman keputusan PRU India semalam.
Pengiraan undi yang hampir selesai pada malam semalam menunjukkan perikatan pimpinan Modi menang, meskipun dengan majoriti tipis.
Modi meletakkan sasaran lebih 400 kerusi untuk NDA, namun mendahului sekurang-kurangnya 290 kerusi Parlimen daripada 543, demikian menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya semasa pengiraan undi mencapai tiga perempat daripada keseluruhan.
Parti Bharatiya Janata (BJP), di bawah pemimpin Modi bagaimanapun gagal memperolehi kuasa majoriti dalam perebutan kerusi Dewan Rendah Parlimen.
Sementara itu, pakatan pembangkang India yang diterajui oleh Parti Kongres pimpinan Rahul Gandhi mendahului lebih 230 kerusi undian, lebih tinggi daripada yang dijangkakan. – UTUSAN










