PETALING JAYA: Malaysia perlu memastikan kemajuan dalam bidang teknologi dan ekonomi disokong oleh sistem pentadbiran serta institusi yang mampu menjamin integriti dan akauntabiliti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang disentuh dalam perbincangan beliau bersama beberapa tokoh terkemuka dalam bidang teknologi dan akademik di luar Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2026, semalam.
Beliau berkata, antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Datuk Fong Swee Kiang yang juga merupakan tokoh terkemuka dalam industri semikonduktor.
“Kami sependapat mengenai keperluan Malaysia untuk bergerak melangkaui sektor pembuatan tradisional serta memperkukuh keupayaan dalam teknologi berimpak tinggi, khususnya dalam kitaran pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI),” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Anwar berkata, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Profesor Charles O’Reilly dan Profesor Stephen Kotkin mengenai perubahan transformatif serta keperluan institusi untuk bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai teknologi.
Katanya, perbincangan itu turut menyentuh perkembangan landskap geopolitik dan ekonomi, termasuk persaingan kuasa-kuasa besar serta implikasi perubahan tersebut terhadap Malaysia.
“Perbincangan lebih luas kami turut menyentuh perkembangan landskap geopolitik dan ekonomi, termasuk persaingan kuasa-kuasa besar, serta implikasi perubahan tersebut terhadap Malaysia.
“Saya menegaskan bahawa kemajuan teknologi dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan tadbir urus yang baik serta institusi yang kukuh. Tiada kompromi dalam usaha kita memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucaptamanya berkata, Malaysia tidak boleh mengambil mudah risiko ekonomi global yang kini menjadikan tarif, kawalan eksport, sekatan ke atas cip dan mineral kritikal sebagai alat tekanan untuk mengekalkan kuasa.
Menurut Perdana Menteri, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, Malaysia tidak boleh naif dalam perubahan landskap ekonomi global sekiranya mahu kekal sebagai negara pedagang bagi tempoh lama.
Kataya, ia bukan lagi sekadar pertimbangan teori semata-mata sebaliknya merupakan cabaran baharu ekonomi dan perdagangan antarabangsa hari ini.
“Bagi sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan dan pada dasarnya Malaysia adalah salah satu daripadanya, dengan kilang-kilang di tengah-tengah rantaian bekalan cip dunia, ini bukanlah sekadar pertimbangan teori semata-mata.
“Sebuah negara pedagang yang naif tentang perkara ini tidak akan kekal sebagai negara pedagang bagi tempoh yang lama,” katanya. – UTUSAN











