KUALA LUMPUR: Kanak-kanak warga asing dipercayai diberikan ubat batuk untuk ‘menidurkan’ mereka ketika dibawa mengemis bagi meraih simpati orang awam untuk menghulurkan ‘derma’.
Modus operandi itu digunakan sindiket pemerdagangan manusia didalangi warga Pakistan yang dibongkarkan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) dalam serbuan di sebuah kedai empat tingkat di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.
Hasil risikan mendapati pengemis-pengemis dikesan beroperasi seawal pukul 9 pagi sehingga 10 malam di kawasan sekitarnya dan di kebanyakan tempat pengemis membawa `anak-anak kecil’ untuk meraih simpati.
Aktiviti mengemis itu banyak dilakukan di hadapan premis-premis perniagaan iaitu kedai telefon, dobi dan kedai gunting rambut.
Bagaimanapun, kewujudan premis berkenaan sekadar untuk mengaburkan mata pihak berkuasa apabila ditemui ‘lubuk’ sindiket pemalsuan dokumen pasport yang beroperasi di bahagian belakang premis berkenaan.
Pemeriksaan di tingkat atas bangunan pula, terdapat ruangan dipecahkan menjadi beberapa bilik bersaiz ‘sekangkang kera’ yang didiami lapan penyewa iaitu pengemis.
Difahamkan, bilik dilengkapi penghawa dingin itu disewa bermula dari RM800 sebulan dengan dimonopoli warga Pakistan.
Malah, akses untuk menaiki kediaman tersebut dikawal ketat serta difahamkan pengemis perlu menyerahkan wang harian yang diraih kepada ketua sindiket sebelum dibenarkan naik ke bilik disewa.
Ketika pemeriksaan, turut ditemui beberapa botol dipercayaibubat batuk serta sebuah tong digunakan untuk mengutip wang mengemis
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dijalankan susulan pihaknya menerima maklumat dan selepas risikan lebih enam bulan di lokasi kejadian.
Menurut beliau, operasi yang bermula pukul 9 malam sehingga 12 malam itu berjaya menahan seramai 79 warga asing termasuk seorang warga tempatan.
“Hasil serbuan dijalankan membawa kepada penahanan seorang wanita Indonesia, seorang wanita India, dan seorang lelaki tempatan.
“Turut ditahan warga Pakistan membabitkan 44 lelaki, wanita (22), kanak-kanak lelaki (empat), kanak-kanak perempuan (tujuh),” katanya.
Kata Wan Mohammed Saupee, individu yang ditahan berusia lingkungan 10 bulan sehingga 59 tahun.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan disiasat di bawah Akta Imigresen. – UTUSAN










