Ambil tindakan tegas penggunaan bubu naga

Ambil tindakan tegas penggunaan bubu naga

SEORANG nelayan menarik bubu naga yang dipasang di Sungai Kahang, Kluang di Johor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Walaupun penggunaan bubu naga diharamkan, masih ada pihak yang menggunakannya untuk menangkap ikan dan udang, sama ada di laut mahupun sungai sekali gus mengundang kepada kerosakan ekosistem hidupan marin.

Justeru, wakil Persatuan Pemancing Sungai dan Rekreasi Daerah Kluang, Azman Abdul Halil meminta pihak berkuasa memandang serius dan mengambil tindakan tegas ter­hadap pihak yang menggunakan bubu naga.

Katanya, penggunaan bubu naga di Sungai Kahang bukan rahsia, malah dilakukan secara terang-terangan oleh segelintir pihak yang dipercayai orang luar.

“Masalah yang berlaku sejak beberapa bulan ini menyebabkan golongan nelayan darat di Sungai Kahang menghadapi kemerosotan hasil tangkapan.

“Individu-individu terbabit seolah-olah tidak memikirkan kesan buruk dan ancaman terhadap alam sekitar serta ekosistem dasar sungai kerana penggunaan bubu naga ini.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan spesies ikan dan udang yang kecil urut terperangkap dalam bubu naga, sekali gus menyebabkan benih-benih hidupan sungai itu mengalami kepupusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Azman, golongan nelayan di situ berharap pihak berkaitan tampil memantau dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Jika keadaan ini dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan, perkara utama yang akan berlaku adalah sumber pendapatan golongan nelayan sungai terjejas serta menghadapi kesukaran menjalankan aktiviti harian mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN