Ajak pihak lawan protes guna peti undi naratif dangkal

Ajak pihak lawan protes guna peti undi naratif dangkal

JOOHARI (berbaju putih) ketika menyantuni peniaga-peniaga di Nibong Tebal, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Naratif pihak lawan yang mengajak pengundi menterjemahkan protes menerusi peti undi atas alasan kenaikan kos sara hidup pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini dianggap dangkal dan tidak wajar.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu hanya akan mencemarkan proses demokrasi negara.

Katanya, pemilihan wakil rakyat itu sangat penting ketika ini kerana pemimpin terbabit yang akan menterjemahkan isu-isu rakyat ke peringkat atasan.

“Tidak begitu wajarlah protes itu dilaksanakan kerana kita kena tahu bahawa undi dan proses demokrasi ini berlangsung dalam kotak undi.

“Pada pandangan saya, dakyah dan naratif sebegitu sangat dangkal. Malah, tumpuan dan usaha kita adalah untuk pastikan semua isu rakyat, maknanya dari segi keupayaan dan khidmat kebaktian kita (wakil rakyat) mesti sampai kepada rakyat,” katanya selepas beramah mesra bersama peniaga Pasar Malam Sungai Duri dalam usaha membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengundi Sungai Bakap supaya tidak terpengaruh dengan dakyah sedemikian.

“Kita perlu memberi sokongan penuh dalam melantik seorang wakil rakyat yang benar-benar boleh bekerja untuk rakyat dan menyampaikan suara mereka,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, rakyat harus menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini sebagai referendum menyatakan perasaan tidak puas hati dengan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berkata, referendum itu juga secara langsung mampu mengikis naratif yang dimainkan pihak lawan kononya rakyat sudah mula menerima Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN