6 anggota pasukan perubatan berjaya dibawa keluar dari Rafah

Kesemua 6 anggota pasukan perubatan berjaya dibawa keluar dari Rafah

PENDUDUK Palestin duduk di tepi runtuhan rumah yang dibom Israel di kejiranan Tal al-Sultan di Rafah, selatan Gaza, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan bahawa kesemua enam orang anggota Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy Malaysia (EMT) berjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, mereka dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat, bersama dengan petugas antarabangsa yang lain.

Menurutnya, sebahagian ahli EMT ini dibawa keluar masing-masing pada 23, 24, 28 Mei lalu, manakala kumpulan terakhir yang terdiri daripada dua orang ahli EMT dibawa keluar semalam.

“Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan antarabangsa yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia tersebut sehingga mereka berjaya dipindahkan keluar dari zon konflik.

“Semua rakyat Malaysia juga diingatkan tidak melakukan sebarang perjalanan ke mana-mana zon konflik,” katanya hari ini.

Sebelum ini, enam anggota pasukan perubatan Malaysia itu terkandas di Rafah dan merupakan sebahagian daripada delegasi perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Rafah, Gaza.

Susulan itu, kerajaan bekerjasama dengan beberapa rakan antarabangsa bagi membawa pulang mereka sejak 1 Mei lalu.

Ini termasuk bekerjasama rapat dengan Qatar berdasarkan perbincangan yang diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai usaha kemanusiaan bersama di Gaza bersama dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar iaitu Lolwah Rashid Al-Khater.

Selain itu, Kementerian Luar Negeri juga bekerjasama dengan Mesir dan Kerajaan Hasyimiah Jordan bagi memastikan mereka dapat dipindahkan dengan selamat dari zon konflik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN