KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan Pelan Induk Pembasmian Kemiskinan Bandar bagi tempoh lima tahun dengan memberi tumpuan kepada perumahan, kesihatan, pekerjaan, pendidikan dan bantuan sosial.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan membabitkan agensi merentas kementerian bagi memastikan golongan berpendapatan rendah di bandar dan separa bandar tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan negara.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia dan Negeri 2024, jurang pendapatan antara penduduk bandar dengan luar bandar masih ketara.
“Pendapatan median isi rumah luar bandar hanya RM4,588 berbanding RM8,139 di bandar, manakala kadar kemiskinan mutlak luar bandar kekal pada 10 peratus pada 2024.
“Kemiskinan bandar juga menjadi isu yang semakin meruncing. Kadar kemiskinan mutlak bandar ialah 3.7 peratus pada 2024, menurun daripada 4.5 peratus pada 2022.
“Namun kemiskinan relatif kekal tinggi pada 16.7 peratus. Ini menunjukkan cabaran ketidaksamaan dan kos sara hidup masih relevan, termasuk dalam konteks bandar,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pembangunan pesat di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan golongan miskin supaya mereka tidak semakin tertekan atau tersisih.
Katanya, perancangan khusus juga perlu diwujudkan bagi memastikan golongan miskin bandar mendapat peluang ekonomi dan pendidikan untuk meningkatkan taraf hidup mereka serta keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin membangkitkan kebimbangan terhadap penurunan sasaran kadar sara diri (SSR) beras kepada 54 peratus pada 2027 berbanding sasaran sebelumnya sebanyak 59.9 peratus.
Beliau berkata, sasaran baharu itu menimbulkan persoalan memandangkan pencapaian sebenar SSR beras pada 2025 ialah 54.3 peratus, sedangkan Rancangan Malaysia Ke-13 menetapkan sasaran 80 peratus menjelang 2030.
“Kalau nak dianggap ini satu krisis, saya fikir ia sudah satu krisis bagi saya. Kita sudah sampai satu detik kritikal sekarang ini untuk menentukan langkah-langkah lebih tegas dan berani,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi tempoh lima tahun untuk merangka pelan tindakan lebih tegas dalam meningkatkan pengeluaran makanan negara.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian, katanya, termasuk masalah tanah pertanian yang tidak digunakan serta peningkatan kos input pertanian.
Muhyiddin turut menggesa kerajaan melancarkan semula inisiatif Revolusi Hijau bagi meningkatkan pengeluaran beras dan hasil makanan lain, selain mengambil langkah drastik untuk memperkukuh keupayaan negara memenuhi keperluan makanan sendiri. – UTUSAN











