Yayasan Terengganu, UniSHAMS jalin kerjasama penempatan pelajar - Utusan Malaysia

Yayasan Terengganu, UniSHAMS jalin kerjasama penempatan pelajar

AHMAD Samsuri Mokhtar (tiga, kanan) dan Muhammad Sanusi Md. Nor (tiga, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Yayasan Terengganu dan UniSHAMS di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Yayasan Terengganu menjalin kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kedah untuk penempatan pelajar cemerlang bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemilihan universiti tersebut adalah kerana ia menawarkan program pengajian MBBS dengan kadar yuran pengajian yang paling rendah berbanding Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang lain.

Menurutnya, sejak tahun 2019, Yayasan Terengganu memberi banyak tumpuan bagi menghantar pelajar cemerlang dalam bidang perubatan dan pergigian ke negara Timur Tengah antaranya Jordan dan Mesir di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap program ini adalah menggalakkan, namun pengaruh faktor global seperti keadaan ketidakstabilan ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik telah menyebabkan kos pengajian terus meningkat saban tahun.

“Sebagai langkah proaktif bagi menangani situasi ini, kerajaan negeri berhasrat untuk membuka laluan pengajian dalam negara sebagai alternatif bagi membolehkan lebih ramai anak Terengganu berpeluang mengikuti program ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu telah memilih UniSHAMS yang merupakan satu-satunya universiti swasta milik penuh kerajaan negeri Kedah sebagai universiti tajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Terengganu dan UniSHAMS, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Sejak dilaksanakan pada 2019, seramai 1,047 orang pelajar cemerlang telah menerima manfaat skim Biasiswa Pelajar Cemerlang untuk mengikuti pengajian di dalam dan luar negara dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM25.2 juta.

Selain menawarkan kos pengajian yang lebih murah, Ahmad Samsuri berkata, UniSHAMS juga adalah satu lagi jalinan kerjasama strategik Terengganu dan Kedah dalam memperkasakan hubungan negeri- State Government 4 (SG4) dalam bidang pendidikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN