Warga emas hilang selepas cari daun palas meninggal dunia

Warga emas hilang selepas cari daun palas ditemukan meninggal dunia

SEORANG lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun palas sejak dua hari lalu ditemukan meninggal dunia di kawasan lembah Hutan Simpan Guar Sanai, Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak dua hari lalu selepas keluar mencari daun palas terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di kawasan lembah Hutan Simpan Guar Sanai, di sini semalam.

Mayat mangsa, Ubaidillah Mohamad, 73, ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 4.12 petang dalam keadaan terbaring.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa berusia 68 tahun berhubung kehilangan warga emas itu, pagi semalam.

Katanya, pengadu juga memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi selepas keluar mencari daun palas di kawasan kebun getah atau hutan di Kampung Guar Sanai di Padang Melangit, Beseri dekat sini dengan menunggang motosikal pada pukul 3 petang, kelmarin.

“Tindakan awal mencari mangsa dijalankan oleh anggota balai Polis Beseri bersama masyarakat setempat dan pada pukul 6.30 petang pada hari sama, motosikal lelaki warga emas itu juga ditemui di kawasan kebun getah,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, pasukan SAR dengan kekuatan 99 pegawai dan anggota polis, Pasukan Gerakan Am Batalion 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam melakukan pencarian di kawasan Hutan Simpan Guar Sanai sebelum menemukan mangsa di kawasan lembah di situ.

“Mayat mangsa ditemukan pada pukul 4.12 petang dengan jarak kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi motosikal ditemui,” ujarnya.

Tambahnya, hasil siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis mengesahkan tiada unsur jenayah pada mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah kematian mengejut dan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN