Kemenangan Besar BN di Johor, tiba masa beri pemimpin muda peluang- Ku Li

Kemenangan Besar BN di Johor, tiba masa beri pemimpin muda peluang- Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan sudah tiba masanya generasi muda diberikan peluang memimpin parti dan seterusnya menerajui negara pada masa hadapan.

Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kejayaan tersebut memperlihatkan kemampuan pemimpin muda membawa pendekatan baharu yang berjaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Katanya, kemenangan di Johor juga menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula UMNO, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin muda yang mempunyai semangat juang, komitmen dan keikhlasan untuk membela nasib rakyat.

“Saya juga amat yakin ini adalah satu titik permulaan yang boleh mempamerkan kebolehan ahli-ahli muda kita.

“Bila tiba masanya nanti, mereka boleh mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan seterusnya negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ku Li memberitahu, beliau melihat sendiri potensi kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sejak pemimpin itu bersama pasukannya tampil secara sukarela membantu beliau dalam pertandingan jawatan Presiden UMNO pada 2018.

Katanya, sejak itu beliau dapat melihat komitmen serta kesungguhan Onn Hafiz bekerja bersama pasukannya sehingga akhirnya membuktikan kemampuan mereka menerusi kemenangan BN pada PRN Johor.

“Saya amat bertuah dapat mengenali sekumpulan ahli UMNO yang insya-Allah bakal menerajui parti keramat ini pada masa hadapan.

“Saya pasti ramai lagi ahli-ahli muda kita yang mempunyai semangat juang, keluhuran hati dan komitmen terhadap membela nasib rakyat akan menyerlah dengan adanya pilihan raya-pilihan raya yang akan datang,” ujarnya.

Ku Li berkata, gelombang kepercayaan rakyat yang kembali memihak kepada UMNO selepas kemenangan di Johor perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan membuktikan parti itu kini lebih progresif dan lebih peka dalam menangani masalah harian rakyat.

Katanya, naratif baharu serta pendekatan yang dibawa UMNO Johor dan UMNO Malaysia mampu menjadi pemangkin kepada perubahan budaya kerja parti serta mengukuhkan hubungan dengan rakyat.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh memberitahu, nafas baharu yang sedang ditiup dalam UMNO mengingatkannya kepada perjuangan parti pada era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn yang berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri serta falsafah perjuangan UMNO sejak penubuhannya pada 1946.

Katanya, beliau berharap usaha memperkukuhkan parti diteruskan supaya UMNO kembali berada di landasan asal perjuangannya serta terus mendapat tempat di hati rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN