PETALING JAYA: Sempena ulang tahun kelima pemergian pelakon, Allahyarham Benjy atau Khaeryll Benjamin Ibrahim, adiknya, Inessa Irdayanty, tampil nukilkan luahan rindu buat abang tersayang.
Bagai masih meratapi pemergiannya, Inessa menyifatkan kehilangan demi kehilangan yang menimpa keluarganya dalam tempoh sedekad telah meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi di hati .
“Saya yakin awak tak pernah terfikir yang suatu hari nanti hanya tinggal Kakak dan aku. Apatah lagi secepat ini. Namun, inilah hakikatnya. Lima tahun sejak pemergianmu, daripada sebuah keluarga yang berjumlah lima orang, kini hanya tinggal kami berdua.
“Untuk mengatakan hidup ini sukar, itu masih belum cukup untuk digambarkan. Cara terbaik untuk menggambarkannya ialah semuanya terasa seperti tidak nyata,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Tambah Inessa, dirinya bagai kehilangan hala tuju apabila berdepan kehilangan berturut-turut bermula dari ibunya, Allahyarhamah Azean Irdawaty, kemudian Benjy dan disusuli pemergian bapa mereka, Allahyarham Sheikh Abdullah Ahmad.
“Kehilangan Mama, kemudian kehilangan kamu, kemudian kehilangan Abah, semuanya berlaku dalam tempoh hanya 10 tahun. Apa lagi yang mampu Kakak dan saya lakukan selain menerima kenyataan ini?
“Kami masih mengingati segala hikmah yang Mama ajarkan, mengulang kembali jenaka-jenaka klasik kamu dan cuba mengutip semula serpihan kehidupan yang Abah tinggalkan untuk kami,” jelasnya.
Dalam hantaran sama, Inessa mengakui dia dan kakaknya masih cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa tiga insan yang selama ini menjadi tempat bergantung.
“Kamu tahu bagaimana hubungan Kakak dan saya. Sayang tetap sayang, bergaduh tetap bergaduh. Tetapi kini tiada lagi antara kalian yang akan meleraikan pergaduhan kami.
“Jadi kami jalani setiap kesilapan dan menjadikannya iktibar daripadanya. Kami masih terasa seperti dua anak perempuan yang hilang arah, tertanya-tanya apa yang Mama akan lakukan, bagaimana kamu akan menceriakan keadaan atau apa yang Abah akan katakan.
“Kami tidak pernah menyangka semuanya berlaku secepat ini. Yang tinggal hanyalah kami berdua tanpa kalian bertiga. Rasanya begitu tidak lengkap. Ada waktunya terasa sangat kosong.
“Kami belum puas mendengar jenaka-jenaka mengarut kamu. Kami belum puas menikmati kehadiran kamu. Segalanya berubah terlalu cepat sehingga kami terpaksa mengambil peranan sebagai kakak-kakak yang lebih tua untuk membesarkanmu,” katanya.
Meskipun masih terkapai-kapai mencari kekuatan itu, Inessa bagaimanapun mengakui rasa rindu terhadap Benjy tidak pernah surut walaupun masa terus berlalu.
“Apa lagi yang mampu kami lakukan selain terus merindui kamu? Adakah kami dibenarkan untuk mengatakan bahawa kami merindui kamu? Kerana memang kami rindu.
“Bukan seperti yang disangkakan orang, tetapi kami benar-benar merindui kamu. Datanglah dalam mimpi kami dan ceritakanlah jenaka-jenakamu yang mengarut itu,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang sebak dalam kalangan pengikutnya yang turut menitipkan ucapan Al-Fatihah serta mendoakan agar Allahyarham Benjy ditempatkan dalam kalangan orang beriman.










