PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Greenwood menghala ke Sri Gombak dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.45 petang membabitkan sebuah lori jenis Nissan dan motosikal Yamaha Ego LC.
Katanya, hasil siasatan mendapati semasa kejadian, lori dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun itu dalam perjalanan dari Sungai Pusu menuju ke Kepong.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori terdengar bunyi dentuman yang kuat pada bahagian hadapan sebelah kiri kenderaannya.
“Pemandu lori mendapati seorang wanita dan sebuah motosikal berada di bawah tayar hadapan sebelah kiri lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffn berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Selayang, manakala pemandu lori tiada kecederaan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut menyeru saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan polis.
Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat trafik Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222. – UTUSAN










