Utusan Malaysia, Kosmo antara pemenang Malam Anugerah Media Agrobank

Utusan Malaysia, Kosmo antara pemenang Malam Anugerah Media Agrobank

Dua anugerah yang dimenangi oleh wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! pada Malam Anugerah Media Agrobank di Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! antara pengamal media yang memenangi Anugerah Media Cetak dan Portal Berita 2024 sempena Malam Anugerah Media Agrobank semalam.

Wartawan Biro Negeri Sembilan Utusan Malaysia, Badrul Hafizan Mat Isa dinobatkan sebagai naib juara kategori rencana terbaik dan membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Kemenangan tersebut diperoleh menerusi artikel ‘Pengeluaran kutu air bersih tingkat kualiti industri akuakultur’ yang disiarkan di akhbar terbitan Media Mulia Sdn. Bhd. itu.

Wartawan Kosmo! pula iaitu Muhammad Farid Ahmad Tarmiji memenangi tempat ketiga kategori Berita Terbaik menerusi laporan ‘Siswa UPM tuai hasil rock melon’.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (MPI), Datuk Mustapa Omar menzahirkan penghargaan kepada Agrobank kerana menaja majlis yang menghargai jasa wartawan dalam melaporkan berita.

“Kita berjaya mendapat sebanyak 130 penyertaan dalam enam kategori dipertandingkan dengan juri berpendapat semuanya adalah cukup baik dan sukar untuk menentukan juara bagi setiap kategori,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, menerusi laporan-laporan berita ini, ia meningkatkan serta menyokong imej

Agrobank sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang berperanan penting terutama dalam pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makan.

“Anugerah Media Agrobank pada tahun ini adalah salah satu usaha kami untuk memartabatkan bidang penulisan dan kewartawanan melalui penyertaan karya yang berkaitan pertanian atau fungsi, peranan, inisiatif Agrobank.

“Melalui pengiktirafan anugerah pada malam ini, pihak Agrobank berharap rakan-rakan media akan terus bersemangat untuk mendorong diri dalam memartabatkan industri kewartawanan serta menghasilkan karya-karya yang berkualiti walau apapun cabaran yang dihadapi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN