PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir menyarankan kerajaan segera menghalau keluar dua syarikat pembekal senjata utama kepada rejim Zionis untuk melakukan serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin sejak 7 Oktober lepas.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, tindakan itu perlu diambil selepas kedua-dua syarikat itu iaitu Lockheed Martin dan BAE System didakwa hadir Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024.
Jelas beliau, kehadiran mereka dengan kerjasama Kementerian Pertahanan itu adalah sesuatu yang amat menjengkelkan dan penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin serta dukungan rakyat Malaysia yang menentang genosid di Gaza.
“Memang benar mereka pernah hadir di dalam anjuran-anjuran terdahulu. Tetapi keadaan kali ini amat luar biasa dan genosid zionis terhadap Palestin begitu kejam dan tanpa sedikit pun perikemanusiaan.
“Membenar syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman rejim Tel Aviv. Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak dan orang awam yang lain.
“Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan harus mengambil tindakan tegas dan mengarah syarikat-syarikat ini keluar dari Malaysia seberapa segera yang boleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penganjuran DSA dan NATSEC 2024 menyaksikan penyertaan pemain industri terbesar pernah dianjurkan negara apabila 1,324 syarikat di sektor pertahanan dan keselamatan mengesahkan menyertai pameran tersebut.
Pameran berkenaan juga berjaya menarik tiga negara baharu untuk menyertai penganjuran DSA dan NATSEC 2024 iaitu Singapura, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, seruan itu juga tidak terhad kepada dua syarikat tersebut.
Katanya, jika ada syarikat-syarikat lain yang membekal senjata kepada rejim Zionis masa kini, maka mereka juga perlu diarah keluar dari Malaysia.
“Mereka perlu tahu bahawa tidak ada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genosid ke atas orang Palestin,” katanya. – UTUSAN










