ADA satu jenayah yang nampaknya semakin selesa di dunia. Buka sahaja akhbar dan media sosial setiap hari pasti ada mangsa baharu. Hari ini seorang pesara hilang wang pencen. Esok seorang doktor ditipu pelaburan palsu. Lusa pula seorang peniaga kehilangan modal perniagaan.
Modus operandinya berubah-ubah tetapi pengakhirannya tetap sama. Wang lesap, hidup musnah.
Yang peliknya, sindiket scam tidak pernah takut. Mereka beroperasi tanpa henti, menggunakan teknologi terkini, menyamar sebagai pegawai polis, bank, mahkamah, syarikat penghantaran dan macam-macam lagi. Seolah-olah mereka lebih pantas belajar berbanding pihak yang sepatutnya membanteras.
Kerugian pula bukan kecil. Sepanjang 2025, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 66,204 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM2.97 bilion, hampir dua kali ganda berbanding RM1.57 bilion pada 2024. Bayangkan, hampir RM3 bilion lesap dalam tempoh setahun.
Wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membina sekolah, menaik taraf hospital atau membantu ribuan keluarga yang memerlukan. Sebaliknya, ia mengalir masuk ke poket sindiket penipuan yang semakin rakus.
Lebih menyedihkan, wang yang hilang itu bukan duit ‘lebihan’. Ia adalah simpanan seumur hidup, duit persaraan, wang belanja anak belajar, malah ada yang sanggup membuat pinjaman semata-mata kerana terpedaya.
Jangan sesekali menganggap scam sekadar jenayah menipu. Hakikatnya scammer boleh memusnahkan seluruh kehidupan seseorang tanpa perlu mengacukan senjata. Ada mangsa yang bercerai, mengalami kemurungan dan ada juga yang meninggal dunia akibat tekanan selepas kehilangan segala-galanya. Bukankah itu satu bentuk kemusnahan yang serius?
Adakah hukuman yang ada hari ini benar-benar menakutkan mereka? Kalau keuntungan mencecah jutaan ringgit tetapi risiko ditangkap rendah, sudah tentu sindiket akan terus mencuba. Daripada sudut perniagaan, ia masih dianggap berbaloi.
Sudah tiba masanya kita berhenti berlembut. Cadangan supaya pesalah scam dikenakan hukuman sebat bukanlah sesuatu yang melampau. Jika seseorang sanggup menghancurkan kehidupan orang lain demi wang, dia juga perlu menerima hukuman yang benar-benar meninggalkan kesan.
Malah, akan ada yang berpandangan hukuman gantung juga wajar dipertimbangkan bagi kes-kes tertentu yang melibatkan kerugian luar biasa atau mengakibatkan kematian mangsa. Tujuannya bukan untuk memuaskan nafsu menghukum tetapi sebagai mesej bahawa jenayah yang memusnahkan kehidupan ribuan orang tidak boleh dilayan seperti kesalahan biasa.
Perbahasan mengenainya tentu akan menyentuh soal hak asasi manusia. Namun, hak mangsa untuk mendapatkan keadilan juga tidak boleh diketepikan.
Kita juga perlu jujur, undang-undang kita masih mempunyai banyak kelemahan. Proses siasatan dan pendakwaan sering mengambil masa panjang. Wang yang dicuri sukar dijejaki, aset penjenayah tidak mudah dirampas manakala sindiket pula sentiasa mencari helah baharu untuk mengelak tindakan undang-undang. Selagi kelemahan ini tidak diperbaiki, selagi itulah scammer akan terus mencari ruang.
Persoalan sebenar adakah kita benar-benar serius mahu menghentikannya. Jika kerugian hampir RM3 bilion setahun pun belum cukup untuk menggerakkan reformasi undang-undang yang lebih tegas, jangan terkejut jika beberapa tahun lagi kita masih membaca berita yang sama. Cuma angka kerugiannya sahaja terus melonjak.
Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN
Jangankan sebat, tali gantung juga munasabah

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved