PETALING JAYA: Pemilik tanah yang menempatkan penempatan haram komuniti Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan atau menggunakan tapak tanah berkenaan.
Anak kepada pemilik tanah yang hanya mahu dikenali sebagai Kim berkata, proses perobohan bangunan di kawasan itu telah dilakukan sepenuhnya oleh keluarganya.
Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan jumlah kos yang dibelanjakan bagi kerja-kerja perobohan tersebut.
“Kerja-kerja perobohan telah selesai dilaksanakan, namun masih terdapat beberapa tindakan lanjut yang perlu diambil.
“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Tanah juga sentiasa berhubung dengan kami bagi memastikan proses berkaitan berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Kim berharap isu penempatan haram di tanah milik keluarganya tidak diperbesarkan lagi kerana mereka telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati kawasan itu hanya dipenuhi timbunan runtuhan konkrit, batu, tanah dan sisa bahan binaan dipercayai susulan kerja-kerja merobohkan struktur bangunan.
Keadaan tapak kelihatan lapang dengan sebahagian besarnya telah diratakan, namun masih terdapat longgokan sisa binaan yang belum dibersihkan sepenuhnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan ketika dihubungi berkata, tapak penempatan haram itu telah kosong sepenuhnya selepas proses merobohkan bangunan itu selesai baru-baru ini.
Beliau berkata, kawasan berkenaan dilihat kembali tenang apabila masyarakat sudah meneruskan rutin harian seperti biasa.
“Alhamdulillah, saya lihat masyarakat di kawasan ini telah kembali menjalani rutin harian masing-masing dan tiada lagi aduan berkaitan warga asing.
“Saya juga akan terus memantau kawasan yang menerima aduan berkaitan kehadiran warga asing dengan kerjasama pihak berkuasa bagi memastikan sebarang isu yang dibangkitkan oleh penduduk dapat ditangani mengikut saluran dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Sany berkata, isu penempatan komuniti Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau itu dijadikan pengajaran kepada semua pemilik tanah supaya tidak membenarkan pembinaan penempatan haram di tanah milik mereka. – UTUSAN










