PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melaksanakan sesi libat urus bagi menilai cadangan penubuhan Universiti Al-Quran Malaysia dengan pihak-pihak berkepentingan.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu antara langkah inisiatif kerajaan terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memperkukuh sistem pendidikan tahfiz.
Beliau berkata, pada masa ini, dasar berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk persatuan tahfiz.
“Bagi memperkasa kemahiran pengurusan, pembelajaran dan pengajaran dalam kalangan guru tahfiz dan pengurusan tahfiz, Jakim dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminuddin Baki melaksanakan program-program latihan kepada pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pihaknya menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh pihak Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) supaya ditubuhkan Maktab Perguruan Tahfiz.
Cadangan tersebut adalah salah satu kaedah untuk memperkukuh sistem pendidikan tahfiz di negara ini.
Mohd. Na’im berkata, Jakim juga mewujudkan sistem pengiktirafan kepada institusi tahfiz dengan mewujudkan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).
Kata beliau, pihakya yakin bahawa semua inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan akan dapat memperkukuh usaha-usaha pembangunan Al-Quran secara menyeluruh seterusnya mengisi makna pembinaan Malaysia Madani. – UTUSAN










