KUALA KANGSAR: Penggunaan kamus bahasa secara optimum penting bagi membantu murid dan pelajar di negara ini meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut akan membolehkan pelajar menguasai bahasa-bahasa asing selain bahasa yang sering dituturkan.
“Dalam konteks pendidikan kita, anak-anak kita juga menguasai lebih daripada satu bahasa. Selain daripada bahasa Melayu, bahasa Inggeris, mereka juga menguasai bahasa-bahasa lain.
“Malah sesetengah anak-anak kita juga menguasai bahasa asing seperti Jerman dan Perancis. Kita sangat memberi sokongan kepada anak-anak dalam meningkatkan penguasaan bahasa dengan penggunaan kamus secara optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Seminar dan Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.
Sementara itu, Fadhlina yang hadir sebagai tetamu utama turut menceritakan tentang pemikiran, pengalaman serta penekanan ilmu oleh Allahyarham Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang juga merupakan bapanya.
Allahyarham Siddiq, yang juga merupakan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 semasa usia 74 tahun.
Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) yang pertama.
Selain pernah menerajui gerakan Islam, beliau pernah menjadi pemimpin gerakan belia dan sezaman dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu juga, Fadhlina menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sekali gus memberi kesan langsung dan motivasi kepada guru-guru yang merupakan antara kumpulan terbesar kalangan penjawat awam. – UTUSAN










