Tingkat teknologi ladang kurangkan kebergantungan buruh asing - Utusan Malaysia

Tingkat teknologi ladang kurangkan kebergantungan buruh asing

Teknologi
ANWAR Ibrahim (tengah) bersama Johari Abdul Ghani (dua dari kiri) melihat simulasi jentera perladangan kelapa sawit pada lawatan kerja ke Tapak Operasi Sime Darby Plantation Berhad dekat Pulau Carey, di Kuala Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Penggunaan pelbagai teknologi terkini dalam sektor perladangan perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan tenaga buruh asing di negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sektor itu menjadi penyumbang utama ekonomi dan kerajaan mahu memastikan beberapa faktor dapat dipenuhi.

“Kita tidak mahu ‘deforestation’ (penebangan) hutan-hutan dan kekal dengan apa yang ada ketika ini.

“Namun, kita mahu terus meningkatkan yield (hasil) menerusi pembangunan teknologi dan kurang menggunakan tenaga buruh asing kecuali sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar),” katanya ketika ditemui selepas melawat Tapak Operasi Sime Darby Plantation Berhad (SDP) Pulau Carey di sini, petang ini.

Lawatan selama dua jam itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Jelasnya, pemain industri perlu mencontohi SDP yang berjaya membangunkan dan mengaplikasi teknologi mesin baharu dalam sektor berkenaan.

“Ini terbukti apabila teknologi mesin mereka berjaya memperluaskan skop kerja 12.5 hektar kepada seorang pekerja berbanding 8 hektar bagi satu pekerja sebelum ini.

“Sebahagian daripada teknologi itu dipakai dan dalam prototaip. Jika SDP boleh capai setiap teknologi mesin itu, saya akan pastikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengaplikasikannya kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Johari memaklumkan, Perdana Menteri turut menekankan supaya perladangan memenuhi beberapa aspek yang penting bagi memastikan kelestarian sektor tersebut.

“Kita kemudian akan memperkenalkan kepada semua pemain industri kepala sawit untuk mereka tengok dan buat teknologi mesin ini.

“Perdana Menteri menekankan betapa pentingnya kalau ada syarikat memperkenalkan teknologi ini kerana pabila berjaya, kita hendak pastikan mereka dapat jual teknologi ini kepada pemain industri,”  jelasnya.

Ditanya berkaitan peruntukan tambahan kepada SDP, tambah beliau, syarikat itu mempunya insentif tersendiri.

“MPOB ada memberi sedikit peruntukan kepada SDP untuk membangunkan teknologi dan konsep baharu. Syarikat ini bagus kerana fokus dalam pembuatan teknologi itu lebih cepat daripada buat ‘try and error’. Setiap benda yang dibuat tidak berhasil adalah kos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN