PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) mengesahkan tiada rundingan antara Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dengan pihak Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA) berkenaan hal bantuan perayaan.
Malah, tiada perjumpaan dibuat antara kedua-dua pihak itu termasuk dalam isu perjanjian kolektif bersama MCBA dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE).
“Pertikaian ini diuruskan secara profesional oleh JPPM selaras dengan peruntukan perundangan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, NUBE mendakwa Sim menyalahguna kuasanya sebagai Menteri Sumber Manusia dalam memberi keputusan berhubung bantuan raya tahunan seperti ditetapkan dalam Memorandum Perjanjian April 2023 (FA-MoA).
Ini kerana perbincangan dan keputusan mengenai bantuan raya hanya melibatkan MCBA dan tidak melibatkan NUBE.
Berhubung isu bantuan perayaan itu, JPPM menjelaskan, pihaknya mengadakan tiga kali mesyuarat rundingan damai berkaitan isu itu pada 19 Feruari, 21 Mac dan 27 Mac lalu, namun tiada sebarang penyelesaian dapat dicapai kedua-dua pihak.
JPPM berkata, walaupun bayaran bantuan perayaan dilaksanakan, pihak NUBE masih meneruskan tindakan bantahan dan serangan melalui platform media sosial.
Justeru, katanya, isu berkenaan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan memandangkan kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dan kes didaftarkan pada 18 April lalu.
Dalam pada itu, berhubung isu Rundingan Perjanjian Kolektif, JPPM mengadakan dua kali mesyuarat rundingan damai iaitu pada 15 dan 23 April, namun kedua-dua mesyuarat tersebut tidak dihadiri pihak NUBE walaupun pihak MCBA masih mahu meneruskan perundingan bagi menyelesaikan isu perjanjian kolektif tersebut.
Sehubungan itu, Menteri Sumber Manusia juga merujuk aduan pertikaian perusahaan tersebut ke Mahkamah Perusahaan di bawah Seksyen 26(2) Akta 177 pada 29 April lalu untuk suatu keputusan adil dan saksama bagi menjaga kebajikan pihak-pihak terlibat dan kes sudah didaftarkan. – UTUSAN










