HULU SELANGOR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membuka kepada bukan Bumiputera.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, KPT tidak menerima permohonan dari UiTM untuk membuka Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ kepada graduan bukan Bumiputera.
Kata beliau, tiada perbincangan yang dilakukan oleh pihaknya berhubung perkara berkenaan bersama institusi pengajian awam tersebut.
“Kita tiada bincang apa-apa lagi. Tidak ada (cadangan) secara rasmi kepada (KPT).
“Jadi, apapun seperti yang kita tahu yang paling mustahak adalah kita perlu melihat masalah yang asas sebelum kita bincangkan perkara-perkara yang berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Suara Anak Muda Madani, malam tadi.
Untuk rekod, UiTM merupakan universiti tempatan pertama yang menawarkan program ‘Parallel Pathway‘ dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) bagi memberikan latihan pakar kardiotorasik.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar mendedahkan UiTM bersetuju untuk membuka program berkenaan secara sementara kepada graduan bukan bumiputera.
Ini selepas seramai 30 graduan yang mengikuti program tersebut di bawah institusi pengajian swasta yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak diiktiraf Malaysia Majlis Perubatan (MMC).
Mengulas lanjut, Zambry berkata, masalah sedang dihadapi itu berpunca daripada sistem ‘Parallel Pathway’ yang diperkenalkan oleh universiti teribat.
“Kerajaan membuat komitmen untuk mencari penyelesaian terbaik dan kita telah umumkan baru-baru ini melalui KKM bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya. – UTUSAN










