Tiada aduan rasmi mengenai sogokan, salah guna jentera kerajaan

Tiada aduan rasmi mengenai sogokan, salah guna jentera kerajaan

ABDUL Ghani Salleh ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu, di sini - UTUSAN/M/. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sehingga kini tidak ada aduan rasmi mana-mana pihak mengenai sogokan kepada pengundi dan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sehingga kini hanya terdapat satu kes yang menyalahi undang-undang iaitu mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa berkempen di PRK Kuala Kubu Baharu.

Bagaimanapun, menurut beliau, kes tersebut sudah diselesaikan dan kini tidak ada lagi aduan yang diterima berhubung kes-kes lain.

“Lain-lain Alhamdulilah, tidak ada kes yang menyalahi dari segi peraturan. Kita tidak terima apa-apa. Maksudnya orang di Kuala Kubu Baharu ni berkempen secara baik (dan) ‘adik beradik’. Jadi yang ini amat digalakkan.

“Saya berharap sangat (dalam) tinggal tiga hari lagi ini, kita berkempen secara matang, elok, hormat-menghormati sebab yang mustahaknya kita menggalakan semua pengundi keluar mengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai aduan rasmi berhubung sogokan kepada pengundi dan isu menyalahgunakan jentera kerajaan.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir melakukan lawatan ke Pusat Pengundian Awal iaitu di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu, di sini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa PH menyalahgunakan aset kerajaan dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya, bagaimanapun petisyen tersebut akan dikemukakan bergantung kepada keputusan pilihan raya pada 11 Mei ini.

Bagaimanapu, perkara tersebut dinafikan oleh Pengerusi penyelarasan gerak kerja jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bagi Kerajaaan Perpaduan, Steven Sim Chee Keong.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming masih belum dipanggil oleh SPR berhubung isu pengumuman peruntukan RM5.21.

Jelasnya, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pimpinan baharu ekoran beliau yang bersara pada 9 Mei ini.

“Kita pulangkan kepada pimpinan akan datang, masa itu saya dah tidak ada,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini PN mendesak SPR supaya mengambil tindakan berikutan pengumuman peruntukan oleh Kor Ming yang juga merupakan Naib Pengerusi DAP menjelang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang didakwa melanggar peraturan pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN