PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan untuk mengambil tindakan segera dengan menebang pokok berisiko tumbang di Kuala Lumpur susulan insiden pokok tumbang yang berlaku di ibu negara tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, DBKL juga diarahkan menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang selain menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap Julai ini.
“Susulan insiden pokok tumbang hari ini yang hanya berselang seminggu dari insiden di Jalan Sultan Ismail, saya mengarahkan DBKL mengambil tindakan segera menebang pokok berisiko tinggi di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Dr. Zaliha berkata, garis panduan baharu berkaitan pokok berusia dan berisiko tinggi itu bagi memastikan insiden yang sama tidak lagi berulang dalam jangka masa panjang.
“Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL perlu memperincikan program penggantian semula pokok.
“Ia termasuk meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Terdahulu, kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank di ibu negara petang tadi nyaris menimpa kenderaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Bagaimanapun, beliau dan kenderaan jenis Lexus 350 yang dinaikinya selamat.
Menurut Pegawai Media Ab. Rauf, Shahnor Samsudin, ketika kejadian, rombongan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara sedang melalui kawasan tersebut untuk menghadiri urusan rasmi di ibu kota. – UTUSAN











