GEORGE TOWN : Pulau Pinang telah menangguhkan pelaksanaan tarif air baharu yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selama hampir dua tahun bagi membolehkan pengguna menikmati kadar air yang lebih rendah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, permohonan berkaitan tarif air baharu itu pada asalnya telah dibuat pada 2015 dan ia telah diluluskan oleh SPAN pada 2022.
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri hanya mula melaksanakan tarif air baharu itu sejak Februari 2024 atas beberapa faktor termasuk disebabkan oleh pertukaran kerajaan, penangguhan Kabinet dan sebagainya.
“Kadar tarif air yang baharu itu diluluskan pada 2022 dan banyak negeri pada tahun 2023 sudah laksanakan (tarif baharu). Tapi, kita tunggu sampai Februari 2024 baru kita laksanakan.
“Kita sudah memberi pertimbangan dengan tangguhkan (tarif baharu). Masa yang kita tangguhkan ini adalah satu penjimatan kepada pengguna sebab walaupun tarif air sudah diluluskan, tetapi, kita gunakan tarif yang lama hampir setahun lebih,” katanya selepas merasmikan Hari Air Sedunia 2024, di Taman Rekreasi Bukit Dumbar di sini hari ini.
Kadar tarif air domestik di Pulau Pinang naik berganda bermula 1 Februari lalu di mana pengguna yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan akan dikenakan bayaran sebanyak RM0.50 sen setiap meter padu, berbanding kadar terdahulu iaitu RM0.22 sen.
Pengguna yang menggunakan 20 hingga 35 meter padu air sebulan akan dikenakan RM1.10 setiap meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu akan dikenakan RM2 setiap meter padu, berbanding kadar semasa masing-masing RM0.46 dan RM0.68 sen.
Susulan kadar baharu itu, ramai pengguna di Pulau Pinang terkejut dengan peningkatan kadar bil bekalan air dengan kebanyakan meningkat lebih 100 peratus sehingga lebih 150 peratus sejak Februari lalu.
Menurut Kon Yeow, pelbagai penerangan mengenai isu bekalan air itu telah diberikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan penerangan itu katanya mencukupi untuk memberi pemahaman kepada pengguna mengenai kadar tarif baharu ketika ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan pula memberitahu, PBAPP akan menjalankan pemasangan meter pintar di 2,000 unit meter di kawasan Balik Pulau untuk memudahkan pengguna memperoleh bil air mereka.
“Buat permulaan 2,000 unit meter pintar akan dipasang di Balik Pulau, dengan adanya meter pintar ini pengguna boleh memilih sama ada mereka mahu bil air dikira sebulan atau dua bulan sekali.
“Selepas pemasangan di Balik Pulau, kami akan memperluas pemasangan meter pintar ini sehingga 20,000 unit di lain-lain lokasi pada tahun depan dengan dana sebanyak RM2.5 juta,” katanya.-UTUSAN










