KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan kerajaan menghentikan peruntukan dana didakwa melebihi RM730,300 untuk kawasan Parlimennya.
Selain bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, tiga pengundi tersebut ialah Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri yang menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly memberitahu wakil media, kerajaan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman tersebut.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Julai ini bagi mendengar bantahan awal pihak responden. Prosiding dijadualkan di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Syed Saddiq dan tiga pengundi itu selaku pemohon memfailkan permohonan pada 23 April lalu menerusi Tetuan Lim Wei Jiet.
Mereka menuntut baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi perbelanjaan untuk program kebajikan dan bencana di kawasan itu, tahun lalu.
Mereka turut mencabar keputusan kerajaan membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem ‘myKHAS’ yang menguruskan permohonan Peruntukan Pembangunan RM2 juta untuk kawasan terbabit.
“Pemohon juga meminta responden menarik balik keputusan yang membatalkan beberapa projek berjumlah RM230,300 memandangkan ia telah diluluskan oleh sistem ‘myKHAS’.
“Saya memohon perintah untuk membatalkan tindakan responden dan selanjutnya meluluskan peruntukan kepada saya selaku Ahli Parlimen Muar bagi Projek Mesra Rakyat ataupun yang seumpama,” kata Syed Saddiq selepas pengurusan kes hari ini.
Selain itu, Syed Saddiq meminta akses untuk sistem ‘myKHAS’ diaktifkan, peruntukan bagi parlimen tahun ini disalurkan segera dan membenarkannya membuat permohonan sumbangan kewangan projek.
Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden telah melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan itu yang terjejas termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan
Sementara itu, sewaktu sidang media di luar mahkamah, Syed Saddiq mendakwa, dana itu dibatalkan selepas Muda menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Objektif semakan kehakiman ini jelas iaitu menoktahkan politik balas dendam dan memastikan mereka yang terkesan akan mendapat haknya semula.
“Peruntukan Parlimen untuk orang susah, bantuan kebajikan, naik taraf dan baik pulih sekolah. Contohnya untuk pastikan orang tua dapat kerusi roda, lampin dan susu formula.
“Mereka paling teruk terkesan apabila bantuan disalurkan mengikut warna politik dan kawasan (Parlimen diwakili pihak) kerajaan atau pembangkang,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini selepas pengurusan kes berkenaan hari ini.
Syed Saddiq mendakwa mengeluarkan dana sendiri untuk membantu rakyat bagi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen walaupun dinafikan peruntukan kerajaan.
“Kita membuat pelbagai siri meraih dana, berjumpa badan wakil kerajaan (NGO), wakil korporat dan mereka yang berpengaruh di Parlimen Muar untuk menggembleng tenaga memastikan bantuan disampaikan.
“Sebagai contoh, kita berjaya mengagihkan lebih 2,500 laptop dan tablet berkualiti, tidak datang daripada bantuan peruntukan Parlimen tetapi dari rakyat Malaysia yang ikhlas membantu rakyat Muar,” katanya.-UTUSAN










