Sultan Nazrin perkenan Perak bekalkan air kepada Pulau Pinang - Anwar

Sultan Nazrin perkenan Perak bekalkan air kepada Pulau Pinang – Anwar

ANWAR Ibrahim (tengah) ketika hadir ke Program Rakyat Madani Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, Gelugor, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Khabar gembira buat rakyat negeri ini apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikatakan telah memberi perkenan untuk membekalkan air kepada Pulau Pinang.

Berita tersebut disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, projek Air Perak-Pulau Pinang itu merupakan satu insiatif yang dimulakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sejak sekian lama.

“Kita terima berita baik. Sultan Nazrin (Sultan Perak) dan kerajaan negeri Perak (di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad) bersetuju untuk sediakan bekalan air dari Perak.

“Ia akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.

“Fasa pertama akan disalurkan ke Seberang Perai, ke Nibong Tebal. Turut terlibat ialah ke Sungai Bakap sebab saya lahir di Sungai Bakap,” katanya ketika berucap dalam Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini hari ini.

Pada 3 Januari lepas, Saarani berkata Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka tidak dapat dilakukan tahun ini kerana perlu menunggu peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian, Perak selain perlu menyelesaikan terlebih dahulu proses berkaitan bekalan air terawat antara kedua-dua negeri.

Bagaimanapun, Pulau Pinang berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pemeteraian projek berkenaan yang ditunggu-tunggu sejak 2011.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, projek itu perlu dilaksanakan kerana ia bukan saja akan memanfaatkan Pulau Pinang, tetapi juga negeri lain di utara semenanjung selain menjadi Pelan Kontigensi Air Pulau Pinang 2030 untuk meningkatkan bekalan air kepada 602 juta liter sehari.

Mengulas lanjut, Anwar juga berharap kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang dapat berunding secara profesional berhubung bekalan air antara kedua-dua negeri.

“Saya percaya hubungan yang baik dengan Kedah akhir-akhir ini dapat dikekalkan dan rundingan secara profesional boleh dibuat jika ada keperluan untuk Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah dalam isu bekalan air ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN