PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memulakan hari kedua lawatan negara ke Singapura dengan santapan sarapan pagi bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.
Lawrence bakal mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu pada 15 Mei ini selepas persaraan Lee Hsien Loong.
Turut hadir ke majlis itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Luar Singapura, Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar.
Sebelum ini, Hsien Leong mengumumkan pengunduran sebagai Perdana Menteri manakala Lawrence bakal mengambil alih pucuk pimpinan pada 15 Mei ini.
Lawrence kini Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan merupakan seorang ahli ekonomi berusia 51 tahun berpendidikan Amerika Syarikat (AS) dilihat secara meluas sebagai ahli media sosial yang bijak menangani krisis Covid-19 dengan berkesan selepas menyelia pasukan petugas pandemik kerajaan
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Singapura semalam bagi mengadakan lawatan negara selama dua hari.
Lawatan ke Singapura itu atas jemputan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka selepas menaiki takhta pada 31 Januari lalu.
Dalam rangka lawatan ke Singapura itu, Seri Paduka berdua menerima sambutan negara di Istana Singapura, diikuti pertemuan bersama Tharman dan Hsien Loong.
Tharman juga meraikan Seri Paduka berdua dalam satu majlis santapan negara semalam.
Pada lawatan hari kedua, Sultan Ibrahim dijadualkan berkenan melawat Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura. –UTUSAN










