Suami teruja sambut anak, setiap hari cium perut - Hana Ismail - Utusan Malaysia

Suami teruja sambut anak, setiap hari cium perut – Hana Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menyifatkan tempoh kehamilan sebagai momen penting, pengacara, Hana Ismail, memaklumkan suaminya yang juga pendakwah selebriti, Da’i Syed menyimpan semua salinan gambar kandungan yang mereka peroleh setiap kali pasangan itu melakukan pemeriksaan di klinik . 

Malah katanya, persiapan menyambut kelahiran cahaya mata sulung seperti membeli pakaian, katil dan kelengkapan asas dilakukan bersama.

“Suami saya lebih teruja hendak sambut kelahiran anak pertama. Setiap hari dia akan cium perut saya. 

“Dia simpan semua gambar dan video selepas kami lakukan pemeriksaan (kandungan). Beli barang kelengkapan bayi juga kami buat bersama.

“Saya dan Syed sudah berbincang, apabila anak kami lahir nanti, kami nak jaga dia depan mata. Kami tak mahu ketinggalan setiap momen penting itu,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Hana, yang kehamilannya memasuki trimester kedua, bersyukur kerana tidak mengalami alahan teruk yang menghalangnya daripada aktif melakukan aktiviti harian.

“Lucunya, suami yang lebih berselera. Kadang dia belikan saya air soya, sedangkan dia yang nak minum. 

“Saya pula fokus kepada persiapan melahirkan anak khususnya dari segi mental. Selain banyak baca buku dan tengok video, saya juga melakukan teknik hipnoterapi yang membuatkan saya tenang agar kelak mudah melahirkan anak.

“Saya selalu membayangkan proses melahirkan ibarat ada cahaya yang keluar daripada tubuh,” katanya yang menginginkan tiga cahaya mata.

Terdahulu, Syed berkongsi beberapa gambar di Instagram memaklumkan bahawa isterinya sudah berbadan dua. 

Hana menyifatkan berita kehamilan itu sebagai anugerah memandangkan dia pernah mengalami keguguran selepas 10 minggu hamil pada tahun 2023.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×