KEMAMAN: Seorang anak pasangan guru, tidak menyangka pengorbanannya menghabiskan masa hampir dua tahun sebagai persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berbaloi apabila dia memperoleh keputusan 9A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Muhammad Adam Asyraff Mohd. Zaki, 18, berkata, dia membuat persediaan rapi dengan sentiasa menumpukan perhatian ketika dalam kelas sejak di tingkatan empat.
“Saya memang berusaha belajar bersungguh-sungguh dari awal dan tidak membuat persediaan pada saat akhir. Boleh dikatakan waktu saya sepenuh masa di sekolah kerana selepas waktu sekolah, saya akan ada kelas tambahan waktu petang dan malam di sekolah yang dibuat guru-guru.
“Saya hanya menumpukan perhatian dalam kelas dan saya sentiasa hormat dan mendampingi cikgu sebab ilmu pun cikgu yang curahkan. Saya juga sentiasa menjaga hubungan baik dengan ibu bapa dan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Chukai, di sini, hari ini.
Lebih manis, Muhammad Adam Asyraff juga adalah pelajar SPM terbaik di daerah ini selain merupakan satu-satunya pelajar di daerah ini yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran.
Anak sulung daripada empat adik beradik itu berkata, meskipun bapanya, Mohd . Zaki Hassan, 50, dan ibunya, Haslena Harun, 47, masing-masing merupakan guru di SMK Sultan Ismail dan Sekolah Kebangsaan Seri Kemaman, namun dia lebih banyak bergantung kepada guru yang mengajarnya di sekolah.
“Saya tak sangka akan dapat 9A+ sebab saya rasa SPM ini agak sukar, lagipun saya hanya belajar di sekolah harian biasa dan bukannya asrama penuh. Bila ambil keputusan hari ini, memang saya terkejut dan sangat gembira,” katanya. – UTUSAN










