KUALA TERENGGANU: Semua 510 buah masjid di Terengganu diarahkan mengadakan solat sunat Istisqa’ bagi memohon hujan selepas solat Jumaat pada minggu ini
Arahan itu dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kepada semua pengerusi jawatankuasa masjid negeri di lapan daerah di Terengganu melalui surat rasmi yang diedarkan pada Ahad lalu.
Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin berkata, solat sunat Istisqa’ adalah ikhtiar umat Islam dengan berdoa kepada Allah SWT berikutan cuaca panas yang berlaku sekarang.
“Oleh itu, semua pengurusan masjid diminta membuat hebahan ini kepada anak kariah masing-masing agar dapat melaksanakan solat sunat tersebut pada 10 Mei selepas solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah dijangka terus mengalami cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius secara berterusan bagi tempoh kira-kira tiga bulan lagi.
Keadaan itu berlaku susulan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.
Sebelum ini, terdapat lima kes strok haba dan kelesuan haba berlaku di Terengganu yang terdiri daripada dua anggota keselamatan, seorang pelajar sekolah, seorang pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seorang warga emas.
Tambahnya, solat sunat Istisqa’ adalah solat yang disyariatkan dengan tujuan yang khusus untuk memohon agar diturunkan hujan apabila berlakunya kemarau.
“Hukumnya sunat muakkad ke atas orang yang bermukim, bermusafir, merdeka, hamba, baligh dan belum baligh, lelaki serta perempuan,” katanya. – UTUSAN









