SEPANG: Sikap jemaah haji negara ini yang cukup berdisiplin dan mematuhi peraturan Arab Saudi antara rahsia skim Makkah Route dikekalkan di Malaysia tahun ini.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dalam sidang akhbar peluncuran inisiatif tersebut, di sini malam tadi.
“Ini bukan sahaja pengiktirafan kepada Lembaga Tabung Haji (TH), malah keyakinan oleh negara itu kepada aspek disiplin tinggi jemaah kita,” katanya.
Makkah Route mula diperkenalkan pada 2017 dengan Malaysia menjadi negara pertama skim praperlepasan imigresen Arab Saudi itu sebelum dilaksanakan di enam negara lain.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pengekalan Malaysia yang terus dipilih oleh negara tuan rumah ibadah tersebut juga membuktikan kepercayaan tinggi kecekapan pihak TH.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana tanpa hak keistimewaan diberikan itu, bakal jemaah kita perlu beratur amat lama,” jelasnya.
Beliau berharap jemaah Malaysia konsisten mengekalkan tahap disiplin sepanjang di tanah suci.
Sementara itu, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim tidak menolak kemungkinan program Makkah Route diteruskan di Malaysia.
“Insya Allah, saya berharap Makkah Route mampu dilanjutkan di Malaysia pada tahun akan datang tanpa masalah.
“Langkah Arab Saudi memilih Malaysia sebagai negara pertama adalah tepat dan Makkah Route membuktikan pengiktirafan keupayaan negara ini,” katanya. – UTUSAN











