Sindiket pengedaran rokok seludup terbesar di Terengganu lumpuh - Utusan Malaysia

Sindiket pengedaran rokok seludup terbesar di Terengganu lumpuh

MOHD. Nadzri Ariffin (kanan) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sindiket pengedaran rokok seludup terbesar di negeri ini lumpuh selepas seorang pemandu lori ditahan bersama 2.1 juta batang rokok di KM349.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 dekat sini pada 30 April lalu.

Pengarah Kastam Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, turut dirampas sebuah lori dengan nilaian keseluruhan rampasan hampir RM1.7 juta termasuk duti cukai.

Beliau berkata, ketika kejadian pihaknya telah mengesan dan mengejar lori dipandu suspek sebelum pemeriksaan menemukan sejumlah kotak rokok berbalut plastik hitam disyaki barang larangan import.

Menurut Mohd. Nadzri, siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk rokok melalui jalan laut sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk edaran pasaran di Pantai Timur dan Lembah Klang.

“Kami tidak menolak kemungkinan sindiket ini masih baru aktif dan pemeriksaan lanjut terhadap pemandu lori iaitu lelaki tempatan berusia 20-an itu juga tiada rekod jenayah lampau.

“Rokok-rokok ini disyaki diseludup masuk dari negara jiran melalui jeti Kuala Besut sebelum dihantar kepada pengedar tempatan terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang serta di Lembah Klang.

“Suspek kemudian ditahan dan sudah dihadapkan ke mahkamah bagi proses pendakwaan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nadzri menjelaskan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu telah melakukan 10 rampasan bernilai hampir RM3.7 juta sejak Januari sehingga April lalu.

Rampasan itu membabitkan dua kes rampasan rokok sebanyak 2.6 juta batang, lima kes rampasan kenderaan, satu kes rampasan mercun (985 kilogram) dan dua kes rampasan kain batik sebanyak 274 helai.

“JKDM memandang serius isu penyeledupan barangan tidak berkastam seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah atau kenderaan kerana boleh merugikan negara dari segi ketirisan hasil,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN