GEORGE TOWN : Kerajaan negeri disaran menyenaraihitamkan kontraktor yang tidak berkemampuan melaksanakan sesuatu projek sehingga menyebabkan projek-projek kerajaan lambat disiapkan.
Teh Lai Heng (DAP-Komtar) berkata, selain itu, tindakan tatatertib harus dikenakan kepada pegawai yang tidak dapat menjalankan pemantauan projek dengan baik agar projek dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan sekaligus menjaga imej kerajaan negeri.
“Orang awam asyik mengadu mengapa kebanyakan projek kerajaan sentiasa lewat disiapkan dari tempoh jangka masa yang ditetapkan.
“Sebenarnya, ini bukan tanggapan. Sebaliknya, ini adalah satu hakikat dan realiti yang berlaku,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Lai Heng, sebagai contoh, untuk projek naik taraf tandas di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), kontraktor diberikan masa tiga bulan untuk menyiapkan projek namun projek tersebut lewat disiapkan.
“Orang awam mula bertanya, apakah jenis penaiktarafan tandas yang perlukan masa sehingga tiga bulan (untuk disiapkan)?
“Tetapi, projek tersebut tiga bulan pun tak mampu untuk siap. Malah, ia mengambil masa sehingga empat hingga lima bulan untuk disiapkan (pada akhirnya).
“Sebenarnya, projek itu hanya satu contoh projek biasa yang lewat disiapkan. Masih terdapat beberapa projek kerajaan lagi yang lambat siap dan ada yang mengambil masa hingga bertahun-tahun.
Dalam pada itu, kata Lai Heng, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaikkan kadar
gaji penjawat awam kepada 15 peratus baru-baru ini tidak tepat pada masanya kerana defisit kerajaan negeri adalah tinggi.
“Bagaimanapun, saya tetap menyokong usaha ini kerana kerajaan sudah lebih daripada 10 tahun tidak melakukan perubahan dari segi struktur gaji kepada penjawat awam.
“Oleh itu, struktur skim gaji ini haruslah dilaksanakan secara berhemah iaitu dengan tidak menambahkan lagi defisit kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN










