Sekolah tutup jika suhu 37 darjah Celsius tiga hari

Sekolah tutup jika suhu 37 darjah Celsius tiga hari

WONG Kah Woh bersama pelajar yang menyertai Kejohanan Badminton Remaja Allianz di Taiping, Perak, semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Sekolah yang mencatat bacaan suhu kekal 37 darjah Celsius tiga hari berturut-turut akan ditutup susulan cuaca panas yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, tindakan menutup sekolah tersebut diambil sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan.

“Sekolah yang mengalami suhu melebihi 37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut akan ditutup untuk kepentingan kesihatan warga sekolah.

“Kementerian sentiasa memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa di samping mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tentang keadaan cuaca,” katanya pada Pelancaran Kejohanan Badminton Remaja Allianz di sini, semalam.

Menurut Kah Woh, pengurusan sekolah diberi kuasa penuh dalam membuat keputusan untuk menghentikan aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah sekiranya suhu mencecah 35 darjah Celcius.

“Kementerian sentiasa cakna dan peka tentang perkara ini dan kita mempunyai garis panduan bagi menghadapi fenomena El Nino yang diramal berlaku sehingga Julai ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kejohanan Badminton Remaja Allianz diadakan di pusat-pusat latihan sukan seluruh negara untuk pelajar menimba pengalaman menerusi pertandingan yang kompetitif.

Menurutnya, kementerian sentiasa berusaha meningkatkan sukan dalam kalangan pelajar secara komprehensif.

“Buat masa ini kementerian mempunyai lima Sekolah Sukan Malaysia, 15 Sekolah Sukan Negeri dan 612 Pusat Latihan Daerah di seluruh negara yang berfungsi mengembangkan bakat sukan murid secara komprehensif.

“Bagi pemilihan bakat sukan, kementerian mengikuti rapat pertandingan yang diadakan dan memilih bakat terbaik untuk diserapkan ke Sekolah Sukan Negeri dan Sekolah Sukan Negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN