Saya mesej minta maaf itu dengan hantukah? - Muaz Zabir - Utusan Malaysia

Saya mesej minta maaf itu dengan hantukah? – Muaz Zabir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelakon, Muaz Zabir, berang dengan pendedahan isu curang membabitkan dirinya yang dibuat Aliff Aziz menerusi sebuah podcast baru-baru ini.

Malah Muaz, 27, memaklumkan dia telah memohon maaf kepada Aliff dan konflik antara mereka selesai pada November tahun lalu.

“Tipulah kalau kata saya tidak tahu mengenai apa yang dikatakan Aliff (melalui podcast), ramai yang tag saya.

“Saya terpaksa cakap perkara ini kerana pihak sebelah sana (Aliff) menyatakan tidak dapat persefahaman.

“Saya tak tahulah selama ini saya mesej itu dengan hantukah? Sebab memang kami ada berhubung. Takkan saya nak bacakan pula maki hamun dia kepada saya?” katanya.

Muaz ditemui Utusan Malaysia pada sesi bertemu peminat drama Kuih Muih sempena Karnival Jom Heboh, di sini, hari ini.

Tegas pelakon Leha, Leya, Lawa itu lagi, jika Aliff lelaki budiman, dia boleh menghubunginya secara langsung tanpa perlu menghebohkan perkara tersebut.

“Kalau dia tidak berpuas hati dengan saya, dia ada nombor saya, jadi lelaki sejati dan hubungi saya. Tidak perlu podcast.

“Bahkan sebelum ini, dia sendiri yang cakap jangan hebohkan perkara ini.

“Saya marah kerana dia ungkit perkara yang tak perlu. Tapi saya faham itu hak dia, saya tidaklah sampai nak bawa perkara ini ke mahkamah,” jelasnya.

Malah, Muaz turut mendakwa Aliff seolah-olah mempunyai niat tidak baik terhadapnya berdasarkan mesej perbualan yang tular bersama individu bernama NRF.

“Saya ambil semua ini sebagai iktibar. Setiap yang berlaku ada baik dan buruknya.

“Kalau dia nak buat laporan polis atau membawa kes ini ke mahkamah mengenai isu saya dan Bella, saya juga ada bukti kami sudah selesaikan perkara ini dengan cara baik.

“Terbaharu menerusi pendedahan Didi, kita semua melihat perbualan dia dan NRF mengenai sudah tiada peluru untuk menyelamatkan diri.

“Mereka ada peringkat untuk jatuhkan kami,   Sudah-sudahlah saya dah minta maaf. Saya pun dah tarik diri daripada kemelut ini. Apa lagi yang dia tak puas hati,” luahnya.

Bukan itu sahaja, Muaz turut menasihati Aliff agar berhenti memanjangkan perkara tersebut dan melibatkan namanya dalam kemelut rumah tangga mereka.

“Saya tiada hak untuk cakap apa-apa kepadanya tapi saya harap dia dapat fikir sendiri kerana dia lebih matang.

“Saya doakan yang terbaik untuk dia dan apa juga tindakan yang dibuat saya harap benda itu membawa kebaikan kepadanya.

“Namun jika tindakan anda tiada kebaikan kepada diri sendiri, janganlah pula bawa keburukan kepada orang lain. Saya rasa ini tidak patut,” kongsinya.

Terdahulu Aliff menerusi temu bual podcast yang bersiaran di YouTube menceritakan kembali hubungan yang terjalin antara Bella dan Muaz sehingga isterinya itu berubah sikap.

Malah Aliff mempersoalkan tindakan Muaz yang didakwa mengganggu isterinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN