KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak bercadang untuk mengadakan kursus aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS di sini.
Beliau berkata, kursus berkenaan akan dikendalikan dengan kerjasama sebuah syarikat yang berpangkalan di United Kingdom.
Menurut Abang Johari, Sarawak menyasarkan untuk menghasilkan reka bentuk cip kompaun yang disesuaikan untuk industri aeroangkasa.
“Kita akan bekerjasama dengan SMD Semiconductor untuk melatih lebih ramai pakar reka bentuk cip dari Sarawak.
“Lima puluh individu telahpun lulus peperiksaan reka bentuk cip dan kita memerlukan lebih kurang 500 orang lagi.
“Dengan penawaran kursus aeroangkasa, mungkin suatu hari nanti kita boleh melancarkan satelit kita sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Tambah Abang Johari, beliau percaya pemimpin-pemimpin masa depan berupaya untuk merealisasikan impian tersebut
“Ini merupakan cita-cita yang sangat tinggi dan jika tidak upaya dicapai dalam tempoh kepemimpinan saya, pemimpin-pemimpin baharu akan datang boleh meneruskan inisiatif ini untuk melatih rakyat Sarawak (dalam industri aeroangkasa) kerana mereka mempunyai potensi,” kata beliau.
Justeru itu, kerajaan Sarawak akan terus mengutamakan peluang pendidikan untuk rakyatnya.
“Mulai tahun 2026, pelajar Sarawak yang layak akan menerima pendidikan tinggi percuma di universiti-universiti milik Sarawak.
“Manakala kos pengajian juga akan turut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak sendiri,” kata Abang Johari. – UTUSAN







