KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Seri Rossa memuji solidariti yang ditunjukkan rakyat Malaysia terhadap Palestin terutama dalam gerakan #Blockout2024 yang tular di media sosial baru-baru ini.
Jelas Rossa, kekuatan sokongan dan solidariti yang dipamerkan rakyat Malaysia tidak dirasakan di Indonesia lantaran keluasan dan populasi rakyat yang besar serta ramai.
“Sebenarnya kalau di Indonesia, gerakan boikot tidak sekuat di Malaysia. Saya merasakan impak gerakan blockout itu hanya di Malaysia dan Hollywood.
“Di Indonesia ada sebahagian masyarakat yang mempunyai pemikiran masing-masing tambahan pula negaranya besar, banyak daerah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 semalam.
Menerusi konsert yang 7 September depan itu, penyanyi Tegar bakal bergandingan dengan Dayang Nurfaizah, Datuk Jamal Abdillah dan Joe Flizzow.
Sementara itu, walaupun gerakan boikot tidak terlalu kuat di Indonesia namun mereka juga tidak terkecuali dalam menunjukkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin.
“Ya, walaupun tidak sekuat di Malaysia tidak bermakna mereka tidak menyokong saudara Islam di Palestin. Mereka juga mempunyai sikap solidariti yang tinggi.
“Setiap hari minggu di Indonesia selalu ada perhimpunan untuk memperjuangkan nasib rakyat di Palestin,” kongsinya.
Bercakap tentang kerjasama dengan produk pro-Israel, Rossa memaklumkan dia tidak lagi mempromosikan jenama tertentu yang secara terang-terangan menunjukkan sokongan terhadap Zionis.
“Saya tidak lagi mempromosi barangan jenama pro-Israel tetapi kalau untuk tujuan kerja dan bukan hard sell, mungkin saya tidak kisah untuk terlibat dalam menghadiri acara mereka,” katanya. -UTUSAN